Wednesday, April 23, 2008

Rakyat Sabah perlu contohi perubahan politik Semananjung

- Saya bersetuju keadaan pembangkitan kesedaran rakyat Sabah berkenaan politik dan keadilan sosial termasuklah yang berkaitan rasuah, diperhebatkan lagi. Biar ada satu saja pembangkang di Sabah. Dan, inilah juga antara masalah yang dihadapi PR sekarang. Jangan kita pandai berbicara saja. Pada dasarnya PR juga seperti BN sekarang ini masih berada dalam masalah penyatuan dan penerimaan. PAS, PKR dan DAP bukannya telah bersatu di bawah satu nama. Ianya masih lagi di peringkat perbincangan, dan perbincangan itu mungkin sampai tahun 2013 nanti, mungkin tidak akan menjadi kenyataan pun. Justeru, tidak ada juga beza yang jelas antara PR dan BN, pada dasarnya.

- Apakah maklumat atau kebenaran yang patut diwar-warkan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak yang jujur merasa bertanggungjawab dalam hal membenteras kejahilan ini? Ianya adalah berkenaan Sabah dan Sarawak berkongsi satu pola sejarah yang sama tetapi unik berbanding Semananjung. Sabah dan Sarawak adalah satu kuasa politik terbesar di Malaysia! Inilah dua hal yang patut disampaikan dalam mana-mana program ceramah sama ada anjuran BN atau PR. Inilah perbuatan yang bertanggungjawab dan matang. Rakyat perlu dididik agar dapat membeza antara fakta dan propaganda.

- Saya amat bersetuju dengan resolusi seminar ini. Dan usaha penyedaran yang dimaksudkan perlu bertunjangkan dasar pembenterasan kemiskinan material dan kejahilan. Kalau susah sangat, biarlah kita tumpukan dahulu membenteras buta maklumat di Sabah dan Sarawak. Di Semananjung sudah pernah melalui keadaan ini, oleh itu, banyaklah yang boleh kita kongsi bersama terutama berkaitan modus operandi secara mikro dan makro.

- Apa pun kita lihat dulu laporan Nabila; - Aki Ijjal


Nabila Abdullah

Tue Apr 22, 08 3:21:43 pm MYT

KOTA KINABALU, 22 April (Hrkh) - Kini sudah tiba masanya rakyat Sabah dan Sarawak menerima perubahan politik yang bersih daripada rasuah, penyelewengan, pembaziran harta rakyat oleh Barisan Nasional (BN), kata Pengarah Centre For Electoral Reforms Initiatives (CERI), Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif.

Menurutnya, BN bertahan sebagai kuasa pusat disebabkan sokongan kuat dari Sabah dan Sarawak, oleh itu masyarakat kedua-dua negeri ini perlu mencari perubahan baru dalam politik.
"Pakatan Rakyat tertubuh berteraskan keadilan sosial rakyat dan bukannya atas dasar perkauman yang mendorong ke arah kezaliman seperti parti Barisan Nasional," katanya dalam Seminar Analisis Pilihan Raya Umum Ke-12 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) semalam di salah sebuah hotel di sini.

Beliau yang juga bekas pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, politik perkauman yang dibawa oleh BN tidak lagi relevan kerana agenda utama masa kini ialah keadilan sosial untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

"Pilihan raya umum baru-baru ini menunjukkan titik perubahan dalam politik Malaysia, rakyat berkuasa memilih parti memerintah jikalau dulu pembangkang sukar mendapat sokongan tapi kini rakyat berpihak kepada pembangkang," katanya.

Menurutnya, BN tidak pandai membaca perubahan sikap pengundi menyebabkan pemimpin mereka menjadi angkuh macam Firaun akhirnya rakyat bangkit menentang kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Ansari Abdullah berkata, banyak penyelewengan berlaku di Sabah sepanjang pilihan raya seperti masalah pengundi hantu, politik wang, termasuk pengendalian pilihan raya secara tidak telus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru, Ansari menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat di Sabah berkerja kuat dari sekarang untuk mendapat kejayaan dalam pilihan raya ke-13 akan datang seperti yang dilakukan penyokong Pakatan Rakyat di Semenanjung.

"Kita harus bertindak memberi tekanan kepada BN dari sekarang, banyakkan ceramah dan program penerangan serta aktif mendekati rakyat agar masyarakat Sabah dapat maklumat yang telus," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali, Setiausaha Pemuda PAS Negeri, Lahirul Lagitu, pensyarah Ilmu Polirik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman dan beberapa pimpinan KeADILan dan PAS Sabah.

No comments: