Wednesday, April 16, 2008

Ketegasan LDP gantung ahli pukulan buat UMNO

Mat Zain Mat Isa Tue Apr 15, 08 2:28:17 pm MYT

Tindakan Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) menggantung keahlian lima pemimpin kanannya berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini adalah suatu ketegasan yang wajar dipuji. Apatah lagi di masa sama, Umno sebagai tunjang BN dilihat terlalu berhati-hati untuk mengambil tindakan serupa terhadap ahli partinya yang didakwa turut melakukan pengkhianatan sama bulan lalu.

Dalam satu kenyataan media pada Ahad (13 April), Presiden LDP, Dato' Liew Vui Keong mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Dato' Liew Yun Fah, digantung keahlian berkuatkuasa di hari sama. Yun Fah adalah juga Naib Presiden LDP. Beliau digugurkan daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada pilihan raya bulan lalu.

Turut digantung keahlian mereka ialah empat yang lain, iaitu Bendahari parti yang juga Pengerusi LDP Bahagian Karamunting, Lawrence Tan Kien Yee; Ahli Majlis Tertinggi (MT) LDP, Francis Chang Yin Kong; Ketua Pemuda LDP Merotai, Vun Nyuk Onn dan Ketua LDP Bahagian Balung, Raymond Sia Vun.

Menurut Vui Keong, dakwaan terhadap mereka termasuk mensabotaj calon-calon BN di Parlimen Sandakan, DUN Merotai dan Karamunting. Mereka diarahkan menghadap Lembaga Disiplin LDP dalam masa 10 hari bagi menjawab segala tuduhan terhadap mereka.
"Jika mereka gagal memberikan penjelasan dan sah terhadap dakwaan mereka mensabotaj calon parti, mereka akan dipecat," tegasnya.

Kata Vui Keong lagi, tindakan ini ialah bagi memperkuatkan parti dan memastikan disiplin parti sentiasa dipatuhi setiap ahlinya.

Tindakan tegas LDP itu amat mengejutkan. Bahkan, di masa sama ia seolah-olah cuba mengajar Umno mengenai cara bertindak tegas terhadap ahli yang belot atau mengkhianati parti. Dalam hal ini, perbandingan antara kes dialami LDP itu dengan Umno sangat menarik.
Pertama, tindakan LDP diumumkan secara tiba-tiba, tanpa didahului sebarang gegak-gempita. Sedangkan benak rakyat negara ini lebih banyak disumbati cerita sabotaj oleh ahli-ahli Umno. Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden Umno, yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu.

"Kalau tidak kerana faktor itu (sabotaj), kita tidak hilang kedudukan (majoriti) dua pertiga dan dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah," kata Abdullah, selepas menyampaikan ucapan di Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 6 April lalu.
Menurutnya, ekoran perbuatan sabotaj itu, BN kehilangan 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUN yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih dan dijamin dimenangi BN.

Sebagai Presiden, Abdullah meminta tindakan tegas diambil terhadap ahlinya yang bertanggungjawab menyebabkan kekalahan BN. Pendedahan pemimpin utama Umno itu disusuli pelbagai pandangan dan kenyataan anak-anak buahnya.

Perbezaan kedua, LDP telah mendahului Umno dalam bertindak terhadap pensabotaj itu. LDP hanyalah komponen kecil BN, sedangkan Umno tulang belakangnya. Pada ketika Umno masih tercari-cari kaedah paling sesuai untuk bertindak, parti Sabah itu telah seakan-akan menunjukkan "precedent" kes itu.

Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi telah membayangkan bahawa sebarang hukuman terhadap individu yang terlibat dalam perbuatan sabotaj itu akan "mengambil masa". Ia akan melalui proses laporan bahagian-bahagian terlibat, diikuti siasatan oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Memang kita ada dengar suara-suara dari ahli parti dan calon yang kalah (mengenai perbuatan mensabotaj), tetapi itu tidak cukup untuk kita memulakan proses dan prosiding disiplin terhadap mereka," kata Najib, sebagaimana disiarkan akhbar, 8 April.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengingatkan partinya agar berhati-hati mengambil tindakan terhadap ahli yang didakwa mensabotaj calon BN. Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keadilan saksama bagi semua pihak yang terlibat serta mengelakkan berlakunya sebarang fitnah.

"Kita kena berhat-hati supaya tindakan yang kita ambil itu dianggap adil dan saksama. Mungkin kita akan dapat laporan (berhubung sabotaj) daripada pemimpin di bahagian-bahagian yang terlibat. Bila dapat laporan lengkap, ambil hanya kenyataan itu sahaja dan jangan masukkan yang lain," katanya.

Kesukaran Umno mengambil tindakan tegas itu juga dibayangi kebimbangan ia akan terus hilang sokongan. Apatah lagi kerja-kerja sabotaj dimaksudkan itu dikatakan dilakukan secara beramai-ramai dan bukan oleh kalangan pemimpin Umno tertentu sahaja.

Dalam hal ini, keberanian LDP bertindak terhadap ahlinya sekali lagi membezakannya dengan Umno. Bagaimana mungkin sebuah parti kecil yang hanya beroperasi di Sabah tidak bimbang ahlinya semakin kurang atau kehilangan pemimpin kanan partinya. Sedangkan Umno yang mendakwa ia parti terbesar dalam negara begitu merasa kerdil untuk bertindak terhadap ahlinya yang khianat?

Barangkali para pemimpin Umno sendiri, selain Abdullah, ikut bersetuju dengan pandangan bekas presiden mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan rugi jika menyingkirkan ahlinya yang mensabotaj calon BN.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ahli Umno yang bertindak demikian sebenarnya mahu menyedarkan kepimpinan yang ada sekarang kerana mereka sudah cukup kecewa dengan prestasi parti.

"Maka semua orang Umno yang sudah kecewa ini akhirnya memilih parti lawan pada pilihan raya umum lepas kerana mahu menunjukkan satu mesej bahawa mereka sudah tidak mahu ada pemimpin seperti ini," katanya, sebagaimana disiarkan akhbar, Ahad (13 April).

Dalam perkembangan politik negara mutakhir ini, dan mengambi lkira kecaman serta kritikan Dr Mahathir yang bertalu-talu terhadap kepimpinan Umno dan negara, adalah tidak sukar bagi sesiapa pun menelah siapakah yang beliau maksudkan dengan "pemimpin seperti ini" itu. Siapa lagi kalau bukan Abdullah?

Barangkali para pemimpin kanan Umno, terutama Najib dan Muhyiddin sendiri, turut menerima hujah Dr Mahathir itu. Bahawa usaha sabotaj ahli Umno ialah kerana mereka mahu perubahan dalam kepimpinan parti.

Mangsa desakan berundur bagaimana pun hanyalah Abdullah. Ketiadaan Abdullah sudah barang tentu bakal menguntungkan ramai pemimpin kanan Umno, terutama Najib dan Muhyiddin. Jika itu yang dimahukan ahli-ahli yang mensabotaj itu, apa perlunya Najib dan Muhyiddin bersusah-payah mengambil tindakan terhadap mereka?

- Pada pandangan saya la kan..budaya orang Cina sama ada mereka yang berada dalam BN atau PR lebih kurang sama sahaja trait personalitinya. Dalam hal yang berkaitan, kita dalam UMNO kurang tegas dan banyak bertolak ansur. Ini merupakan satu kekuatan yang patut dipelajari pula oleh bangsa lain sama ada dalam BN atau PR. Soal UMNO perlu belajar ketegasan yang ditunjukkan oleh LDP itu amatlah saya sokong. PECAT DENGAN SEGERA MEREKA YANG SUDAH TERANG-TERANGAN MENSABOTAJ PARTI!!! Kalau ini tidak dilakukan memang kepemimpinan sekarang tidak perlulah berfikir panjang untuk memberi laluan kepada kepemimpinan Johor dan Sabah pula untuk menerajui UMNO. Rakan-rakan sekalian perlu bertindak rasional dengan meneliti pola perkembangan politik semasa dan kecenderungan para pengundi yang boleh dikatakan baru. Baru bermakna pasca kemerdekaan. Yang lahir bukan semasa zaman penjajahan.

- Ramai yang mengatakan bahawa dengan berpandangan sebegini maka kita akan dilabel sebagai kacang lupakan kulit. Kalau pun kita menjadi seorang yang kacang lupakan kulit, salahkah? Berdosakah? Hal ini sebenarnya boleh diperdebatkan dengan panjang lebar lagi. Cuma untuk sekadar rentetan daripada laporan Harakah ini maka saya hanya mahu mengatakan bahawa wajah seorang yang kacang lupakan kulit itu bukan sebagai mana yang digambarkan umum tertutamanya mereka yang ingin dibalas budi sehingga segala-galanya termasuk maruah dan nyawa kita pun dimahu mereka. Disinilah soalnya. Kalau kacang perlu ingat pada si kulit sehingga segala-galanya perlu diberikan kepada si kulit, maka itu gila namanya. Rasulullah sendiri tidak menyuruh umat bertindak sedemikian (untuk menjadi gila). Apa-apa yang berkaitan dengan penguasaan individu lain dengan menafikan haknya adalah zalim (ini sistem perhambaan namanya!). Saya lebih sanggup mati daripada menyerah diri kepada manusia yang ingin berkuasa seumpama ini.

- Sekali lagi, hal ini memang seronok diperdebatkan agar intelektual subur dalam bentuk fitrahnya sendiri. PECAT TETAP PECAT!! TERMASUK YANG MEMECAT KALAU WAJAR UNTUK DIPECAT!!!

No comments: