Wednesday, April 23, 2008

Bekas menteri didakwa mencabul, hasil siasatan polis dinanti ramai

- Berita terbaru dan penuh sensasi ini memang akan meningkatkan jualan akhbar tempatan di negara ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah perkara seumpama ini tidak akan sepantas itu pendedahannya dan wanita terbabit tidak akan seberani ini seandainya hal sama berlaku 20 tahun yang lalu. Budaya dedah mendedah ini baru sahaja di neagara kita pada hemat saya. Semuanya berlaku dengan agak pantas dengan adanya kesimbangan kuasa dalam tampuk pemerintahan. Inilah ehwal yang menarik perhatian saya.

- Sekiranya, kuasa berimbang dapat difahami rakyat secara keseluruhan maka 'equilibrium' kuasa politik-sosial-ekonomi merupakan hasil yang akan memberi faedah luar biasa kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini. Hal ini sedang berkembang tanpa batasan. Sama ada kita mahu atau menentangnya tidaklah relevan lagi. Kita terpaksa akur dengan kewujudannya.

- Kesimpulannya, kita perlukan pembangkang yang kuat. Sabah perlukan pembangkang yang kuat juga agar banyak keadilan yang boleh ditegakkan kelak. Keadaan ini boleh berlaku sekiranya hanya ada dua parti sahaja yang bertanding. Sekiranya terdapat 3 parti atau lebih maka keadaan berantakan pula yang akan berlaku, sebagaimana keadaan kita pada hari ini.
Demokrasi akan dicabul dengan pihak minoritilah sebenarnya yang berkuasa! Oleh itu, kita mesti mendukung usaha ke arah dua parti sahaja dalam negara ini. Perundangan tidak perlu dipinda kerana inisiatif itu akan menggugah demokrasi pula melainkan ianya satu konsensus. Apa yang lebih penting ialah kesedaran setiap individu yang berhak mengundi dalam negara ini. Biarlah kita yang memilih agar hanya dua parti sahaja. Ianya lebih 'natural' kerana ia jelas menampakkan kuasa sebenara ada dalam tangan kita, rakyat.

- Dengan itu, maka jangan katakan menteri malah individu tanpa nama dalam negara ini pun pasti tidak akan mendapat kekebalan daripada siasatan, dakwaan dan hukuman setimpal perbuatannya. Ini kerana sekiranya parti pemerintah tidak mengambil endah sebarang laporan atau cuba/bersubahat menyembunyi sebarang kebenaran sebagai kerajaan bertanggungjawab pada ketika itu, tentunya populariti parti terbabit menurun dan mungkin kalah dalam pemilihan akan datang hanya kerana isu berkenaan. Parti pembangkang pastinya menggunakan hal ini sebagai peluang keemasan untuk menjatuhkan kredibiliti parti lawannya.

- Apa pun, kita baca dulu laporan ini; - Aki Ijjal

Azamin Amin Wed

Apr 23, 08 6:51:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 23 April (Hrkh) - Kejadian itu dikatakan berlaku pada 14 April di salah sebuah hotel yang bertaraf lima bintang berdekatan Stesen Sentral Kuala Lumpur dan pada malam yang sama 'Black 14' juga sedang diraikan oleh 20,000 penyokong dan pencinta keadilan yang mana Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah lepas edahnya untuk bertanding dalam pilhan raya yang bakal diadakan.

Bezanya ialah keesokan pagi, pihak polis dengan segera menghantar notis kepada Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah bersama tiga lagi untuk hadir ke balai bagi menjadi saksi atas satu laporan polis yang dibuat berhubung penganjuran perhimpunan Black 14 yang dikatakan melanggar undang-undang.

Ramai pihak berharap agar 'kepantasan' yang sama dapat ditunjukkan oleh pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap bekas menteri tersebut dan hasil siasatan itu didedahkan kepada awam serta tidak ditutup begitu sahaja memandangkan ianya melibatkan pemimpin politik Barisan Nasional (BN).

Menurut Mohd Sayuti Omar (MSO) melalui Blog Merah Tintanya dilaporkan seorang bekas Menteri itu telah didakwa melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita di di Kelab Havana Hotel Meridien di KL Sentral.

Dalam pilihan raya lalu beliau menang di kerusi Parlimen tetapi tidak dilantik semula menjadi menteri malah beliau dikatakan sahabat baik kepada Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak, kata Sayuti dalam blognya itu.

"Dan oleh kerana saya juga menghormati kod etika penulisan/kewartawan saya juga tidak boleh menyebut nama bekas menteri berkenaan," kata Sayuti.

Menurut laporan Bernama polis kini sedang menyiasat satu laporan melibatkan seorang bekas menteri yang didakwa melakukan jenayah seksual dan perkara itu telah disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah.

Katanya laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang berumur 30-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian pada 14 April lepas, mangsa yang merupakan pekerja di hotel tersebut dikatakan bertemu dengan bekas menteri tersebut sebelum mendakwa dicabul.
Ku yang enggan mengulas lanjut mengenai kes itu berkata bekas menteri itu kini berada di luar negara dan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut menegaskan pihak polis akan menjalankan siasatan tersebut secara adil tanpa mengira status pihak yang didakwa, dan pihaknya akan memanggil bekas menteri yang terlibat untuk siasatan sebaik beliau kembali ke tanah air.

Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencabul kehormatan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

No comments: