Monday, April 21, 2008

Krisis UMNO, Abdullah dijangka tewas, Khairy tidak diperlukan lagi

- Kita baca dulu laporan atau pendapat ini. Komen saya menyusul dibawahnya.

Mohd Rashidi Hassan Mon
Apr 21, 08 9:51:05 am MYT

Walaupun Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno dalam pemilihan parti itu Disember depan, beliau dijangka akan menghadapi laluan yang amat sukar.

Suara-suara yang bangkit menentang kepimpinannya sudah menjalar dalam Umno hingga ke seluruh negara dari Perlis ke Johor hingga ke Sabah.

'Mood' ahli-ahli Umno terhadap kepimpinannya sudah tiada. Mereka menyampaikan mesej secara terbuka bahawa mereka tidak mahu Abdullah menerajui parti.

Begitu juga untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, walaupun sebelum ini Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan hasratnya bertanding bergantung kepada kehendak akar umbi.

Maka akar umbi dalam Umno hari ini secara jelas bukan sahaja menolak Abdullah, malah meletakkan 'kesalahan besar' yang mempengaruhi kepimpinannya kepada Khairy.

Walaupun Abdullah beberapa kali menafikan apa yang disifatkan 'gangguan' Khairy terhadap keputusannya, dalam parti dan kerajaan, akar umbi Umno tetap tidak menerima mereka berdua.

Maka barangkali sudah sampai masanya kepada Khairy untuk tidak perlu lagi memikirkan masa depan politik beliau. Fikirlah soal perniagaan atau menyambung pelajaran atau sebagainya.

Masa depan politiknya sudah gelap.

Mesej yang disampaikan cukup jelas kedua-dua mertua dan menantu ini, tidak lagi diperlukan dalam Umno.

Usaha Mahathir menyingkirkan Abdullah

Perjuangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik dan mengecam kepimpinan Abdullah bermula April 2006 dalam satu majlis di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, selepas dua tahun, kini baru difahami orang-orang Umno.

Ketika itu segala pandangan Mahathir tidak laku. Isu jambatan, isu proton, isu penjualan MV Agusta, isu AP, isu ECM Libra, isu jual pasir dan isu menggadaikan negara kepada Singapura, yang dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan Abdullah, dipandang sepi oleh orang-orang Umno.
Mahathir dalam suatu ucapan di Kota Bharu selepas itu, menyerang Abdullah, dengan mengkritik secara terbuka 'PM circle' yang terdiri daripada Khairy, Kamaludin Abdullah, Kamal Khalid, Kalimullah Masheerul Hassan, Brendan Pereira (bekas Pengarang NST).

Mahathir secara terbuka ketika itu, meminta Abdullah berundur dan menyerahkan kepimpinan negara dan parti kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kerana bagi Mahathir, apa yang dibuat Abdullah dan orang-orangnya di Tingkat 4 JPM dan di NST, bukan sahaja 'menjual' negara kepada Singapura, bukan sahaja merosakkan perjalanan kerajaan, malah melingkupkan Umno.

Sebaliknya Mahathir digelar pengacau, media massa digunakan untuk membelasahnya. Khairy menggelarkannya sebagai 'beruk-beruk yang menggoyangkan pokok (Umno)'.
Kemuncak tekanan dikenakan ke atas Mahathir ialah, apabila beliau disekat daripada memenangi pemilihan perwakilan kumpulan G7 dari Bahagian Kubang Pasu, termasuk dengan membeli undi.

Kes ini timbul dengan pengakuan para perwakilan cawangan Umno yang disogok RM200 seorang. Kes ini dikatakan disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno, tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan.

Mahathir keseorangan, seluruh kepimpinan Umno dan kerajaan termasuk Najib, teguh di belakang Abdullah.

Mahathir ketika itu sudah dianggap 'history'. Banyak gesaan dari pemimpin Umno yang menyuruhnya bersara diam-diam tanpa perlu mengacau Abdullah dan Umno.

Malah tidak kurang yang melabelkan bekas PM yang berusia 82 tahun itu sebagai sudah nyanyuk.

Tetapi kini orang-orang Umno baru hendak memahami teguran Mahathir. Malangnya mereka hanya faham betapa seriusnya teguran Mahathir, apabila rakyat menjatuhkan hukuman terhadap Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac lepas.

Mahathirlah orang yang pertama membuat gesaan supaya Abdullah menerima tanggungjawab meletakkan jawatan pada 9 Mac lepas, selepas BN kehilangan lima negeri.
Gesaan Mahathir disusuli dengan surat anaknya Dato' Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun kepada Abdullah, menggesa beliau berundur.

Protes dalaman Umno disusuli dengan surat Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang mengesa Umno mengadakan mesyuarat agung khas, bagi membincang masa depan parti itu yang berada di ambang kemusnahan.

Abdullah tetap enggan berundur

Kini, suara Mahathir, Mukhriz, Razaleigh dan lain-lain individu diulangi secara tegas dan terbuka oleh orang-orang Umno di seluruh negara.

Pertemuan yang diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Perak, jelas menunjukkan akar umbi Umno mahukan Abdullah meletakkan jawatan.

Cuma pertemuan pemimpin Umno dengan Umno Selangor dikatakan tidak sehangat negeri-negeri lain kerana Pengerusi Perhubungannya, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib sudah memberikan 'briefing' terlebih awal, melarang wakil-wakil bahagian menghentam Abdullah atau menggesa beliau berundur.

Walaupun usaha menyekat perwakilan mengkritik Abdullah dilakukan, ia tidak mampu menghalang 'tsunami' politik berlaku dalam Umno.

Bagi orang-orang Umno, jika Abdullah tidak mahu didesak meletakkan jawatan, Abdullah mesti mengemukakan pelan pengunduran atau transisi kuasa kepada Timbalannya, sebagaimana yang dilakukan Mahathir kepada beliau.

Mereka mahu Abdullah menyatakan tarikh pengundurannya. Abdullah tidak memberikan sebarang respon terhadap desakan mereka.

Abdullah berkata beliau tidak pekak dan mendengar semua kritikan itu. Namun bagi Abdullah, beliau berhak mempertahankan jawatannya Disember depan, kerana beliau mahu memperbaiki Umno sebelum menyerahkannya kepada orang lain.

Tetapi bagi anggota Umno di akar umbi, lagi lambat Abdullah menyerahkan kuasa, usia Umno untuk musnah semakin hampir.

Tidak ada jalan lain bagi mereka, jika Abdullah enggan berundur, maka Abdullah harus dijatuhkan.

Siapa bakal Presiden Umno?

Bagi orang-orang Umno, Najib memang merupakan calon yang terbaik bagi mereka untuk menggantikan Abdullah. Tetapi jika Abdullah menang besar dalam pemilihan Presiden, belum tentu kuasa itu akan diserahkan kepada Najib.

Najib sememangnya diketahui tidak akan menentang Abdullah. Walaupun orang-orangnya bangkit di seluruh negara, menggesa beliau menentang Abdullah, Najib tidak memberikan sebarang respon.

Maka jika Najib tidak berani untuk bertanding menentang Abdullah, siapa lagi di kalangan pemimpin tertinggi Umno yang berani?

Seorang lagi, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak akhir-akhir ini semakin vokal mengkritik Abdullah.

Bagi Muhyiddin, jika Abdullah tidak menentukan bila transisi kuasa akan dibuat, menjelang Jun ini (mesyuarat cawangan dan bahagian bermula), ada 'sesuatu' yang akan berlaku. 'Sesuatu' yang disebut beliau tidak dijelaskan secara terperinci.

Bagi penganalisis politik, walaupun ada kalangan Umno negeri yang menamakan beliau sebagai Timbalan kepada Najib, dalam politik, semuanya belum tentu. Tambahan pula, beliau tidak dilihat sebagai mewakili kumpulan Najib.

Muhyiddin mungkin sedar, jika Najib dipilih sebagai Presiden, orang nombor dua yang akan dipilih beliau, kemungkinan besar sepupunya sendiri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin kepada Najib, bagaikan Tun Hussein Onn kepada Tun Razak.

Maka, jika Abdullah sudah tidak relevan kepada Umno, Najib tidak boleh dipercayai, apakah Muhyiddin berani bertanding jawatan Presiden?

Penganalisis politik percaya, congak politik itu wujud pada pemikiran Muhyiddin, namun sejauhmana sokongan yang boleh diperolehi, beliau belum dapat memastikannya.
Maka calon terbaik untuk menggantikan Abdullah, terbaik dalam konteks ini, iaitu yang berani mencalonkan diri secara terbuka, ialah Tengku Razaleigh.

Mampukah Umno berubah?

Jika orang-orang Umno mahu mengubah partinya, sesiapa sahaja yang menentang Abdullah harus diberikan undi. Setakat ini hanya Razaleigh yang berani, khabarnya akar umbi Umno di seluruh negara sudah berani mencanangkan nama Razaleigh untuk dicalonkan.

Umno tidak akan berubah jika perwakilan hanya menjatuhkan Abdullah dan Khairy sahaja.
Keseluruhan pemimpin tertingginya termasuk Najib, Muhyiddin, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan sebagainya, turut harus bertanggungjawab.

Masalah besar yang dihadapi Umno sebenarnya tidak harus dilihat semata-mata daripada aspek menukar kepimpinan. Bukan juga soal kembali berkuasa penuh dalam negara.

Masalah sebenarnya yang dihadapi Umno ialah kuasa politik yang dibina kukuh selama lebih 50 tahun semakin pupus.

Justeru Umno hanya akan diterima rakyat jika, ianya kembali kepada landasan sebenar. Kembali kepada perjuangan asalnya. Kembali memperkukuhkan institusi bangsa yang mereka sendiri menghakiskannya.

Buat masa ini, semua pemimpin Umno sudah hilang fokus mereka dalam mentadbir negara, mereka hanya mencongakkan mesyuarat agung parti yang bermula Jun hingga Disember.
Masa lapan bulan selepas pilihan raya sehingga Disember, akan dihabiskan dengan konflik dalaman mereka. Buat masa ini masih belum nampak penyatuan kepimpinan Umno wujud.

Apa pun, sama ada jika Abdullah berjaya kekalkan jawatan, atau Najib menggantikannya, atau mungkin Muhyiddin, atau mungkin Razaleigh menjadi Presiden, belum tentu Umno dapat dipulihkan.

Jika pemimpin Umno tersilap langkah, barangkali juga menjelang PRU ke-13, sama ada tahun 2012 atau 2013 nanti, nama dan sejarah Umno akan tersimpan di dalam muzium.

- Pada pendapat saya berkenaan bakal Presiden UMNO ini, secara terus terang saya katakan saya tidak bersetuju sekiranya Razaleigh dicalonkan. Apa kelebihan atau kelayakan beliau berdasarkan merit pencapaian atau kekuatan sentimen dikawasannya? Bahagian-bahagian di Kelantan semuanya dikuasai PAS! Beliau juga bekas S46.

- Kalau berdasarkan sentimen kawasan, maka pemimpin di Johor, Sabah atau Perak lah yang sepatutnya mula berani untuk membentuk satu kekuatan baru yang boleh dipertontonkan kepada generasi muda bahawa pemimpin UMNO boleh berubah seperti yang dikatakan oleh Rashidi itu tadi. Kita tidak seharusnya memutar belit fakta. Generasi sekarang bukan seperti generasi dahulu. Keunikan masing-masing adalah berbeza dan mempunyai kekuatan pengaruh yang berbeza pula. Rashidi sengaja hendak menghancurkan UMNO kah dengan dakyah atau pengaruh propaganda kepada semua ahli UMNO. Sudah tentu bahagian yang sedia ada sewajarnya menyokong ketua perhubungan masing-masing kerana inilah tindakan yang bijak. Kalau bahagian-bahagian di mana-mana kawasan perhubungan dapat dipecah belahkan oleh sesiapa dari kawasan lain maka keadaan itu sudah pasti memberi kelebihan kepada kawasan perhubungan yang kecil bilangan bahagiannya. Oleh itu, sewajarnya keikhlasan kita menyedarkan mereka yang mempunyai jumlah bahagian yang banyak supaya sedar akan kekuatan mereka. Ini tidak, apabila sampai dalam membicarakan soal apakah kriteria utama dalam pilihan yang harus kita ikuti, maka kita senyap kerana maklum mereka yang berada di kawasan yang sedikit jumlah bahagiannya tentunya tidak akan berpeluang lagi. Soal kriteria jumlah bahagian di kawasan perhubungan dan kualiti kepemimpinan dalam menentukan kepimpinan UMNO boleh didebatkan lagi, di waktu lain.

- "Beliau juga bekas S46"..di atas saya utarakan kerana ia berkaitan bukti kesetiaan kepada UMNO. Kalau piawai kesetiaan begitu yang dikira, maka pemimpin Johor lah yang pertama harus menjadi pilihan. Pilihan kedua ialah Sabah, kerana pemimpin USNO bukan 'serpihan' UMNO, mereka 'membubar' USNO dan 'menjadi' UMNO. Maknanya, USNO ialah UMNO. Kesetiaan pemimpin UMNO Sabah jauh lebih tinggi meritnya berbanding pemimpin yang disebut Rashidi.

- Saya sokong pendapat membina bahawa UMNO harus bersedia untuk berubah. Bermakna UMNO akan bangkit sesuai dengan keperluan zaman baru umat Melayu. Itu bukti sejarah yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa. UMNO bermaksud ahli-ahlinya. Setiap ahli dalam kumpulan kecil atau besar yang membentuk UMNO. Bagaimana dan di mana perubahan itu harus bermula?

- Pada saya, ia telah pun lama berlaku. Sama ada kita sedar atau tidak sedar, sebenarnya UMNO telah lama berubah, sentiasa berubah, kerana pemimpin UMNO yang setia telah, sedang dan akan memastikan nama UMNO terus relevan bagi umat Melayu. Malah UMNO itu sendiri sebagai nama persatuan bukanlah UMNO zaman Dato' Onn, UMNO yang ada ketika ini ialah UMNO baru setelah pengharamnnya pada tahun 1988 dahulu. Bukankah ini juga bentuk perubahan yang tidak ada pada mana-mana parti di seantero alam Melayu ini?

- Memang ramailah yang akan melihat keadaan seumpama ini sebagai satu malapetaka. Sebaliknya saya melihat perubahan sebeginilah salah satu laluan fitrah bagi mana-mana kelangsungan sesuatu dalam menambah umur kekalnya. Bukankah perubahan USNO kepada UMNO jelas menunjukkan satu kekuatan baru yang tidak disangka oleh sesiapa? Hanya jauhari mengenal manikamnya. Inilah takdir UMNO setakat ini.

- Mengapa saya berkata demikian? Bukan jawapan yang akan saya berikan tetapi kesoronokan yang akan saya guna sebagai pengganti istilah jawapan tersebut. Seronok melihat UMNO Sabah yang terdiri daripada ahli yang bukan Islam pun. Ini boleh terjadi kerana UMNO baru itu tadi. Sesuai dengan dasar kepartian iaitu sebagai ramuan utama nasionalisme demokrasi ala Malaysia. Pada saya nama Islam tidak boleh dipartikan kerana istilah ISLAM itu sendiri telah pun menjadi seolah-olah satu 'persatuan' bagi semua umat manusia yang menganut dan mendukung prinsip Islam. Ini pun satu perdebatan yang seronok untuk percambahan minda, di lain ketika lah...

- Keseronokan ini jelas membuktikan bahawa kata-kata Dato' Onn sewaktu umur awal UMNO dahulu akan menjadi realiti. UMNO baru akan membuktikannya. UMNO baru akan terdiri daripada pelbagai bangsa/kaum/agama. Cina dan India? Yang ini saya sendiri tidak nampak bagaimana jalannya kecuali bagi Cina Islam dan India Muslim.

- UMNO mengandung kepelbagaian, keunikan dan perbezaan pendapat ala Melayu. Sama ada kita ekstrim akan berkata, "oh, kalau begitu kita biarkan je la UMNO berpecah!" atau tidak berkata begitu dan berkata pula selainnya, mana-mana kemungkinan pun, yang pasti UMNO tetap dijadikan begitu. Tidak timbul soal kemahuan kita. Ini kebenaran kelangsungan satu perjuangan yang belum selesai.

Ini hanyalah ramalan saya. Itu pun berdasarkan apa yang saya ketahui setakat ini berkaitan politik tanah air melalui maklumat yang saya tahu sahaja pula.

No comments: