Sunday, April 20, 2008

Hishammudin mahu letak Kesusasteraan Melayu di mana?

- Saya amat tertarik dengan berita ini. Harakah. Berani amat H Fansuri mengarang dan Harakah menerbitnya pula. Ia berkaitan salah satu kurikulum pendidikan nasional tetapi disulami bait kes mahkamah yang belum lagi selesai perbicaraannya. Tidak takut kena fail saman 10 juta ke! PKR dan Malaysia dah kena dah. Kes plagarisme melawan Tan Sri Dr. Nordin dan UUM.

- Saya amat tertarik dengan berita ini. Gaya penyampaian yang tersusun jalan pemikirannya. Tenang sahaja aliran paparan idea dan desakan, nasihat dan teguran bertubi-tubi mengena sasaran dalam kelompok yang berbeza-beza. Tahniah H Fansuri.

- Saya amat tertark dengan berita ini. Sesuai amat menjadi pelengkap juadah sarapan pagi. Merujuk gaya bujang; bersama teman-teman di warung (restoran), mungkin seawal 6 pagi (waktu Sabah), kopi tongkat ali, nasi lemak, sambil memerhati pula gelagat manusia kiri dan kanan, entah apa yang disibuk sangat seawal pagi Ahad begini? Kekadang suara bicara rakan kedengaran sayup-sayup. Berbau politik lagaknya.

- Saya amat tertarik dengan berita ini. beritanya begini;

H Fansuri Sat Apr 19, 08 1:40:33 pm MYT

Kesusasteraan bahasa Inggeris dikaji semula dan dikatakan mahu dimulakan seawal pengajian di sekolah rendah. Demikian kata Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau mengulas pendirian sepupunya Najib Tun Razak, bahawa pelaksanaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan tetap dilaksanakan.

Dalam 1996, ketika saya belajar di Kolej Mara Kulim (KMK), Jalan Tunjung, kami dperkenalkan dengan dua buah bacaan novel Inggeris, Rice Without Rain (Minfong Ho) dan The Village by the Sea (Anita Desai).

Novel Rice Without Rain disalin kisahnya dengan latar belakangkan negara Thai dan perjuangan pelajar Thammasart University, Bangkok yang berusaha keras dalam menolak penguasaan junta tentera ke atas negara Thai. Sementara itu, novel The Village By The Sea berlatar belakangkan kemiskinan nelayan India di sebuah desa mundur.

Persamaan antara kedua-dua novel ini ialah, klimaksnya menuju ke arah demonstrasi besar-besaran di Bangkok dan di bandar besar India. Pada saat itu, dua tahun sebelum bom jangka Reformasi meledak. Tidaklah diketahui tangan siapakah yang telah mengizinkan novel terbaik itu dijadikan bahan bacaan di matrikulasi USM.

Apabila melangkah ke Matrikulasi 2 (1997), setahun sebelum Reformasi, kami semua diminta membaca Little Lord Fauntleroy dan To Kill A Mockingbird (Harper Lee). Di belakang novel To Kill A Mockingbird milik saya, tertera petikan dialog berikut:-

"They don't do one thing but sing their hearts out for us. That's why it's a sin to kill a mockingbird."

Scout dan abangnya Jem adalah anak kepada Atticus, seorang peguam agamawan yang teguh pendiriannya terhadap nilai-nilai agama. Keluarga mereka itu setia kepada amanat dan wasiat gereja untuk mengelakkan diri daripada setiap perlakuan dosa (sin).

Dalam ayat dan perkataan lain, boleh juga kita berkata begini, "Di mana salahnya kesusasteraan Melayu sehinggakan novel-novel pop, karya popular Melayu dijadikan bahan bacaan sekolah? Apa 'dosa' sasterawan?"

Soalan seterusnya, "Jika Hishammudin mahu bancuh warna fikiran pelajar dengan kesusasteraan Inggeris, adakah ia melibatkan novel-novel karya picisan seperti Harry Porter, The Tunnel dan sebagainya?"

Little Lord Fauntleroy misalnya mengembangkan satu kisah pergelutan antara seorang cucu dan datuknya yang telah terpisah lama. Antara cucu dan datuknya ini, mereka berpaut kepada faham dan ideologi berbeza; Republican dan Democrat. Antara cucu dan datuk ini, mereka memilih laluan politik berbeza kerana seorang berada di Britain yang ketika itu sedang bergelut dengan Amerika yang mahu melepaskan diri daripada cengkaman Britain.

Lord Fauntleroy pada ketika kecilnya sudah petah berbicara mengenai serangan tentera Turki, siapakah Republican dan apakah pendirian Democrat. Adakah warna-warni novel-novel seperti ini yang Hishammudin mahu bancuhkan di dalam akal fikiran generasi muda sejak awal-awal persekolahan itu? Ini karya berat.

Jika benar baguslah. Cuma, janganlah dibancuh fikiran generasi muda dengan Harry Potter pula. Cukuplah sekadar mereka menontonnya di filem sebagai bahan santai. Hisham perlu tahu yang mana boleh diangkat sebagai pemikiran dan yang mana mahu diangkat sebagai bahan santai yang kalau tidak dibaca pun tidaklah merugikan anak bangsa.

Kembali kepada kisah Atticus (To Kill A Mockingbird). Beliau akhirnya disingkirkan daripada
penduduk setempat akibat sikap beliau membela seorang negro (Tom) yang dituduh merogol seorang gadis kulit putih (Mayella Ewell). Sebenarnya, gadis kulit putih itu yang bertindak menggodanya. Tapi, Tom menolak ajakan tersebut. Pun begitu, Tom tetap didakwa bersalah atas tuduhan merogol.

Sebenarnya, Tom boleh menang dan boleh dibebaskan kerana beliau lumpuh sebelah tangannya. Atticus bertanya di dalam mahkamah, "Bagaimana mungkin seorang yang lumpuh sebelah tangannya boleh merogol seorang anak gadis yang sempurna sifat?"

Saya tak ingat tangan Tom yang manakah telah lumpuh. Saya andaikan tangan kanan. Kalau demikian, mata Mayella yang sebelah kiri saya andaikan sebagai lebam. Maka, pertuduhan dibuat, iaitu ketika memperkosa Mayella, Tom mengasari gadis itu sehingga lebam mata kirinya. (Saya tidak ingat kisah sebenar, tapi ini cuma andaian sahaja.)

Masalahnya, soal Atticus, bagaimanakah seorang lelaki yang lumpuh tangan tangannya boleh melebamkan mata kiri gadis tersebut? Akhirnya, rahsia terbongkar, iaitu yang menumbuk sehingga lebam mata kiri Mayella adalah bapanya sendiri yang anti 'nigger'. (Nigger adalah gelaran menghina kaum kulit hitam). Beliau sengaja menyalakan api fitnah itu agar Tom didapati bersalah dan jatuh terhukum.

Kisah ini hampir sama dengan kisah mata Anwar yang lebam dipukul bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor, tetapi dinafikan Mahathir kemudian kerana kononnya Anwar melebamkan matanya sendiri tatkala nyalaan api Reformasi sedang membahang dan kehangatanya tersimbah lalu membakar dada rakyat.

Bermodalkan hujah-hujah berbentuk pertanyaan tersebut, Tom dan Atticus sebenarnya menghampiri kemenangan. Tetapi, Tom akhirnya mengalah dan bertindak membunuh diri dalam penjara sebelum keputusan tercapai.

Menurut Tom, apabila beliau melihat hakim dan juri-jurinya berkulit putih, beliau mula berputus asa. Keputusan tidak berpihak kepadanya walaupun peguam Atticus setia membela atas nama kebenaran tanpa pedulikan warna kulit.

Idea daripada novel ini antaranya mengisahkan betapa zalim dan berdosanya membunuh orang yang tidak bersalah. Di mana dosa dan salah sasterawan kita sehingga mereka dipinggirkan selama ini? Iqbal bermadah, bangsa itu lahir di tangan para penyair, mereka akan terus hidup atau boleh terus mati di tangan para politikus!

Apa salah dan di mana salahnya dengan kesusasteraan Melayu tinggi? Tanpa Sulalatus Salatin dan lain-lain karya hebat, Melayu hari ini tenggelam punca untuk mencari susur-galur warisan keturunannya sendiri. Kalau mahu julang sastera Inggeris, jenis karya hebat seperti To Kill A Mockingbird, Rice Without Rain dan lain-lain itukah yang akan disandarkan sebagai rujukan? Atau, sekadar karya imaginasi bersulam fantasi?

(Jalan cerita To Kill A Mockingbird hampir luput dari ingatan saya. Harap ada pihak yang dapat memperbaikinya.)

Penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman usaha memulihkan imej Umno dan Pak Lah?
Apabila berbicara mengenai To Kill A Mockingbird yang membawakan tema kehakiman Barat yang korup kerana ditewaskan faham kebangsaan, maka kita teringat pula dengan kehakiman di negara kita. Hal itu belum masuk lagi dengan mahkamah universiti yang mengheret pelajar menggunakan Auku.

Akhir-akhir ini mungkin kerana termalu dengan peristiwa lalu maka kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. (Atau, mungkin kerana ingin memulihkan imej Umno)

Zaid Ibrahim sebelum itu telah mengeluarkan pandangan supaya kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas. Tetapi, jangan dilupakan bahawa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kurang cerdik telah menyatakan kerajaan tidak perlu meminta maaf kepada orang yang telah mereka pecat itu.

Kalau mahu lebih adil, majlis meminta maaf itu perlulah dihadiri oleh bekas Perdana Menteri juga, Tun Dr Mahathir bin Mohamed. Tetapi, oleh kerana Malaysia memilki seorang Perdana Menteri yang tidak peka, maka terselamatlah maruah musuh Abdullah itu secara tidak
langsung, iaitu Dr Mahathir.

Hal ini sekali gus menunjukkan Abdullah memang tidak pandai berpolitik!

Liputan media perdana mula memekapkan lipstik kosmetik ke wajah Abdullah dengan menyatakan sikap kerajaan itu adalah tepat sekali melalui penubuhan suruhanjaya ini. Tapi, mujur juga ada orang-orang bijaksana di dalam RTM kerana menemu bual pensyarah undang-undang yang mampu memberikan pandangan dari jalan fikiran lain.

Pada 18 April, melalui Warta Perdana, seorang pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom telah diundang melontarkan pandangan.

Beliau menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman itu masih lagi belum menunjukkan berlakunya hal yang dinamakan sebagai pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif, dan mahkamah.

"Suruhanjaya itu sebenarnya masih lagi merupakan perubahan yang kecil dalam kehakiman. Sebenarnya, perlantikan para hakim itu masih lagi melalui tangan Perdana Menteri. Dan, Perdana Menteri adalah eksekutif," katanya.

Sekali imbas, Abdullah masih mahu berjenaka dengan rakyat. Pertama, beliau tidak meminta maaf kerana kesalahan memecat Tun Salleh Abbas. Kedua, masih lagi dikekalkan frasa, ayat, hukum, fikiran yang menyatakan hakim-hakim perlu melalui kelulusan eksekutif. Siapa lagi kepala eksekutif kalau bukan Perdana Menteri?!

Wahai PM, jangan jadikan suruhanjaya ini sebagai jambatan guna memulihkan imej. Berundur sebelum diundurkan sebagai sampah yang dibuang dalam tong sampah! Untuk pengetahuan, rakyat telah mula menyampah!

Puteri Umno berkempen agar kaum wanita tidak terpedaya dengan wang

Alkisahnya, Dato' Noraini Ahmad dan Puteri Umno sedang mencari jalan untuk giatkan kempen mengenai cara-cara untuk mengelakkan kaum wanita di negara ini, khasnya wanita muda agar tidak terpengaruh dengan wang.

"Sebagai individu rakyat Malaysia, jagalah nama kita. Duit bukan segala-galanya," kata beliau ringkas dalam sidang medianya baru-baru ini.

Ramai wanita yang terpengaruh dengan wang dan menjalani kehidupan kurang sihat telah menamatkan riwayat derita mereka dengan jalan berdarah. Noraini mungkin merujuk kepada kes-kes wanita muda yang ditawarkan bekerja di luar negeri dengan wang gaji lumayan.

Yang terbaru media menonjolkan kisah Sufiah yang hidup dalam glamor, penuh kemewahan sehinga mereka lupakan segala-galanya. Altantuya, seorang model jelita dari Monggolia. Mati dibunuh, raganya dihanguskan, rentung dengan ledakan bom C4.

Dapatkah Noraini nasihatkan Najib agar berhati-hati jika beliau mahu menurunkan tandatangan sebelum mengizinkan penggunaan senjata-senjata tentera?

Wanita-wanita zaman dahulu kerap diajar dengan sulaman, ilmu menjahit, ilmu memasak sebagai melengkapkan citra wanita sejati di samping sebagai imbuhan ilmu yang boleh mendatangkan wang sampingan untuk berbelanja seharian.

Dunia kini sedang berkembang dengan pesat. Antara teknologi yang mesti diberikan pengajaran ke atas wanita muda ini ialah bagaimana mahu menjual produk-produk kraftangan, kerepek, keropok ke peringkat dunia melalui internet.

Menurut laporan, sudah ada wanita yang kaya-raya, jadi jutawan dengan hanya menjual kerepek di internet dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Wanita muda ini perlu diajar tentang bagaimana mahu mengembangkan hasil produk jualan mereka di internet. Tapi, Puteri Umno perlu beri pesanan kepada mereka.

Janganlah menjual, memperdagangkan dan memperagakan tubuh melalui internet mengguna webcam dan YouTube. Jika tidak, yang membezakan antara wanita muda ini dengan Sufiah hanyalah kerana kita di Malaysia dan wanita itu menjalankan kegiatannya di negara atas angin.
Wanita dahulu menubuhkan kelas-kelas masakan, menjahit dan sebagai langkah melengkapkan kewanitaan. Zaman berubah. Berniagalah melalui internet di rumah. Tak perlu bersusah payah ke pejabat dan kena mengorat oleh warga pejabat. Tidak berpeluh dalam LRT. Lebih selamat dan anak-anak di rumah dengan ibunya makin rapat.

Berniaga hasil produk di rumah menggunakan internet juga tidaklah bersalahan dengan falsafah glokal ciptaan Najib. Kata Najib, Melayu Glokal itu adalah mereka yang bekerja di peringkat lokal (tempatan) tetapi hasilnya menerjah ke peringkat global (sejagat). Lebih kurang begitulah kata Dato' Najib. Lalu, ia dicantumkan sebagai Glokal adanya.

Syahadan, wanita-wanita disarankan berniaga di tempat mereka dan biarkan produk mereka dibeli di peringkat luar negeri. Inilah baru citra glokal sejati. Najib juga perlu memahami tuntutan daripada pengertian glokal itu sendiri.

Glokal itu bukan bererti 'sembang deraih' dan 'sembang kemaih' (angkuh, berlagak ketika berucap) mengenai Islam Hadhari itu mengukuhkan pertahanan dalam negara (prinsip ke-10), tapi kapal selamnya dibeli daripada luar negeri di Perancis dengan bantuan warga Monggolia yang kematiannya masih hangat dibahaskan di warung kopi.

Jangan lupa bahawa kes ini masih berlangsung di mahkamah Malaysia di mana Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan bertindak melantik hakim-hakim melalui 'perkenan' eksekutif. Rakyat sudah hampir menjadi Tom dalam To Kill A Mockingbird yang patah hati, kecewa merana, bermuram durjana melihat kedurjanaan sandiwara dan drama ini.

Seperti Tom yang melihat hakim dan juri berkulit putih yang akan berat sebelah menjatuhkan hukuman, seperti itulah kita menjangkakan bahawa Najib akan terlepas daripada jaring hukuman. Betapa tidak? Bukankah Abdullah telah menepuk gendang dan mencanangkan Najib sebagai penggantinya, iaitu jawatan sebagai Perdana Menteri?

Tak kan Abdullah akan biarkan Najib dihumbankan ke dalam mahkamah? Rakyat hanya yakin kepada mahkamah akhirat saja nanti. Di akhirat, Abdullah dan Najib mana mereka nak lari?
Syahadan, sekurang-kurangnya, kalau wanita-wanita dilatih mencari wang secara halal melalui internet, maka tiada lagi 'escort girl' yang pada akhirnya dibunuh atau terbunuh sebagai Altantuya dan lain-lainnya yang bernasib malang.

Kepada Najib, Fansuri berwasiat, sepandai-pandai kapal selam menyelam, akhirnya timbul ke permukaan laut jua.

11:19 malam, 18 April 2008 Sekolah Pemikiran Kg Baru

No comments: