Wednesday, May 28, 2008

Dr. M: Ahli UMNO sudah tidak berjuang demi parti

- Kenyataan ini sedikit sebanyak menjelas lebih lanjut secara tidak langsung kenyataan PejabatPolitik berkaitan liberalisme demokrasi semalam.

- Kita lihat beberapa laporan daripada media elektronik tanah air. - PejabatPolitik


UTUSAN MALAYSIA

SUBANG 27 Mei - Ahli-ahli UMNO kini sudah tidak lagi berjuang demi kepentingan parti sebaliknya hanya mengutamakan kesetiaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ahli-ahli UMNO juga tidak lagi berjuang membela orang Melayu malah semakin melupakan matlamat asal parti ditubuhkan.
"Semua sudah tidak lagi utamakan perjuangan UMNO. Mereka hanya berjuang untuk mengekalkan Abdullah.

"Saya sedih. Mereka tunjuk taat setia kepada Abdullah tetapi tidak lagi taat setia kepada parti," katanya semasa berucap selepas pulang dari menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-14 di Jepun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, mereka bertindak demikian bukan kerana tekanan tetapi akibat situasi parti kini yang tidak lagi mempertahankan ahli di bawahnya.

Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei lalu dan tidak akan menyertai parti itu semula selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.

MALAYSIAKINI

'Belum mati, sudah tidak dikenang'

Muda Mohd Noor May 27, 08 6:24pm

Kira-kira 300 penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut kepulangan beliau dari Jepun di lapangan terbang Subang petang tadi.Kumpulan penyokong itu termasuklah 125 orang ketua dan setiausaha cawangan Umno dari parlimen Jerlun yang kini diwakili oleh anaknya, Datuk Mukhriz. Turut serta, ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Mereka datang menaiki tiga buah bas sekolah dan bertolak kira-kira jam 9.30 pagi tadi dari pekan Jerlun.Mereka turut membawa kain rentang yang berbunyi "Tun Mahathir kita tetap bersamamu", "Selamat pulang pejuang bangsaku" dan "Berani berjuang untuk negara, agama dan bangsa".

Beliau pulang dari Tokyo selepas menghadiri persidangan ekonomi Nikkei.Dr Mahathir berucap selama lima minit kepada para penyokongnya dari dalam kereta yang dinaikinya.

Dalam ucapannya, selepas menimbulkan kegemparan apabila meninggalkan Umno pada 19 Mei lalu, mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "takut kepada Singapura".

Mantan perdana menteri dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Pulau Batu Puteh milik kerajaan Singapura.

Katanya, Abdullah lebih takut kepada republik tersebut daripada ahli-ahli Umno sendiri."Apalah nak jadi dengan pemimpin macam ni," katanya, disambut dengan laungan "hidup Tun".

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah seorang yang tidak mengenang budi dan tidak mengikut pepatah Melayu "hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

"(Saya) ini tak mati lagi, sudah tidak dikenang."

"Sepatutnya saya tidak beri Abdullah masuk Umno (baru) tetapi saya bagi dia masuk balik," katanya, merujuk penyertaan kembali ahli parlimen Kepala Batas selepas Umno diharamkan pada 1988.

Dr Mahathir berkata, Umno sekarang berjuang bukan untuk ahli, sebaliknya untuk mengekalkan Abdullah.

"Kononnya ahli yang tidak setia kepada Abdullah, tidak setia kepada parti. Dia lupa semasa saya menjadi perdana menteri, dia tidak setia kepada saya."

"(Tetapi) saya membuat (Abdullah) supaya dia tidak kelihatan tidak setia. Dia bertanding naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya presiden," kata mantan presiden Umno lagi.

Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, beliau tidak marah kepada bekas timbalannya dan tindakannya meninggalkan Umno bukanlah kerana tekanan.

Sebaliknya, Abdullah tidak lagi mempertahankan Umno, Melayu dan negara.

Mengulas sambutan terhadapnya hari ini, Dr Mahathir berkata, tiada perbezaannya semasa beliau dalam Umno dengan sekarang.

"Kalau saya tidak silap, dulu semasa saya dalam Umno sambutan macam ini juga. "Sebab itu tidak ada beza saya jadi ahli Umno atau tidak ahli Umno," katanya lagi.

No comments: