Wednesday, May 28, 2008

DAP dicabar buktikan ketuanan Melayu langgar Perlembagaan

- PejabatPolitik lebih berminat melihat aliran pemikiran yang diamal oleh kedua-dua pihak; parti pemerintah (BN) dan parti pembangkang. Adakah mereka sedar bahawa sangat jelas aliran pemikiran liberalisme sedang menular dan meresapi jiwa masing-masng sama ada disedari atau tidak disedari.

- PejabatPolitik menyeru hal ini segera dipandang serius oleh kedua pihak. Mereka perlu mencapai kata sepakat terlebih dahulu aliran pemikiran yang diamalkan mesti diisytihar. Mana mungkin demokrasi boleh mengalir bersama sosialisme atau komunisme!

- Persoalannya seterusnya, semua perkarakah yang perlu diliberalkan?

- Siapa yang wajar dan layak menentukan atau memutuskan perihal senarai perkara yang diliberalkan? Parlimen? Agong? DAP? UMNO?

- Sudah pasti ketika ini, mereka tiada pilihan melain mesti mengisytihar aliran pemikiran mereka ialah demokrasi. Justeru, PejabatPolitik dapat menghidu pemikiran liberalisme demokrasi tidak diamalkan oleh kedua-duanya? Buktinya kedua-dua pihak kurang memahami maksud sebenar aliran pemikiran ini. Ini bermakna juga aliran pemikiran liberalisme demokrasi bukanlah wajah sebenar anutan pemikiran kedua pihak ini. Buktinya, pihak parti pembangkang sengaja menyentuh perkara yang menjadi hak majoriti (demokrasi ialah pro majoriti tanpa menganiya minoriti). Tindakan mereka jelas anti liberalisme demokrasi. Parti pemerintah juga bukan pengamal liberalisme demokrasi. Mereka tidak MENGGUNA demokrasi setegasnya untuk meliberalkan (membela) perkara yang sewajarnya dengan bijak, misalnya perkara yang dibangkitkan di bawah ini. Sekiranya dibangkitkan juga maka tindakan undang-undang sepatutnya diambil terhadap mereka yang tidak mendokong aliran pemikiran negara ini yang jelas pro demokrasi! Mereka tidak layak duduk di kerusi parlimen (demokrasi) kerana mereka tidak mengamal demokrasi (mungkin komunisme!).

- Sekali lagi, demokrasi bukan sahaja berkaitan kebebasan, lebih utama daripada itu (ciri pertama) ialah hak berkuasa majoriti jelas dibela, diberi dan dipertahan. Inilah keadilan liberalisme demokrasi. Mempersoalnya atau mempertikainya bermakna mencabul (pencabul), mengkhianat (pengkhianat) dan menipu (penipu) persetujuan awal tadi (amalan negara ini).

- Secara positif, pihak pemerintah (UMNO) yang faham dan memang jelas dengan hal ini dan tidak pula bertindak sebagaimana sepatutnya...Adakah lagi kumpulan yang sebaik ini dalam dunia ini??

- Secara negatif, pihak pemerintah (UMNO) yang faham dan memang jelas dengan hal ini dan sengaja tidak bertindak sebagaimana sepatutnya...Bukankah ini jelas satu kebodohan??

- Kita lihat laporan ini (dalam sekian banyak kes yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku...) - Pejabatpolitik


UTUSAN MALAYSIA

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan KHAIRUL AZWAN TAJUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Mei - Pihak tertentu yang masih mempertikaikan hak istimewa dan ketuanan Melayu adalah golongan yang buta sejarah dan sengaja mewujudkan sentimen bagi kepentingan politik masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar (gambar) berkata, ia tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana kedua-dua perkara itu telah dipersetujui oleh semua kaum sejak zaman sebelum merdeka.

''Jadi, hak istimewa dan ketuanan orang Melayu seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan agama Islam sebagai agama rasmi tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

''Kalau ada yang mempersoalkannya (ketuanan Melayu) terutama DAP, saya cabar mereka untuk buktikan bahawa konsep itu menyalahi Perlembagaan (Persekutuan) negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 Majlis Amanah Rakyat (Mara) Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Dr. Tan Seng Giaw yang mengatakan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu kini tidak lagi relevan serta harus digantikan dengan konsep ketuanan Malaysia.

Pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam, kedua-dua pemimpin DAP itu mendakwa rakyat negara ini sudah bosan dengan konsep ketuanan Melayu dan perkara itu diterjemahkan apabila pihak pembangkang menang di lima negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang dan Pengerusi Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara menambah, orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini telah banyak berkorban terhadap hak mereka.

Menurutnya, hak-hak warganegara Malaysia yang lain seperti kebebasan memilih kerajaan dan kebebasan beragama tidak pernah disekat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau menasihatkan DAP agar tidak memainkan isu sensitif sebegitu yang hanya akan mengelirukan rakyat.

No comments: