Wednesday, July 16, 2008

Melayu dan Warisan

Harakahdaily

Bashir Ishak Fri Jul 11, 08 7:02:12 am MYT

Melihat kolum Anak Kecil Main Api di laman Harakahdaily mengimbas kembali kenangan penulis semasa zaman persekolahan dahulu.

Penulis merujuk kepada baris pertama sebuah lagu patriotik Melayu bertajuk Warisan.
Semasa belajar di Maktab Rendah Sain MARA (MRSM) dahulu, lagu Warisan inilah yang kami nyanyikan pada setiap kali perhimpunan pelajar.

Lagu yang dinyanyikan dengan penuh syahdu ini khusus menaikkan semangat "Melayu" di kalangan para pelajar.

Lagu ini juga dinyanyikan semasa kursus Biro Tata Negara (BTN) atau di majlis-majlis anjuran Umno.

Bezanya, lirik yang kami nyanyikan dulu dengan versi sekarang adalah sedikit berbeza.

Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Air Mata Darah Mengalir Keringat
Bumi milik diancam orang (kini dinyanyikan Bumi Dipijak milik orang)
Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Di Arus Zaman...

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa Depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi sudah hilang (kini dinyanyikan Dah Hilang...)

Kita rumpun bangsa Melayu
Menganut Agama Yang Suci
Semangat Bangsa Berlandaskan Islam
Teras capai kemerdekaan
Dari masa hingga masa
Petualang menghancurkan Bangsa
Alatkan Agama Demi PeribadiPupus kita di bumi Ilahi

(Dua rangkap di atas tidak dinyanyikan lagi kini)

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa (kini dinyayikan Maha Perkasa)
Janganlah Terlalai Teruskan Usaha
Melayu kan gagah di Nusantara

Jika dihayati lirik lagu ini nescaya kita akan tersentuh dengan mesej yang terkandung di dalamnya khususnya bagi nasib bangsa Melayu.

Semasa belajar dulu selain dari dimanglikan dengan lagu ini, banyak juga program kesedaran seperti Bina Insan hatta program BTN sendiri yang penulis hadiri.

Masa itu, penulis mungkin tak berapa mengambil kisah sangat bab-bab semangat Melayu ni, tapi sejak melangkah ke alam dewasa barulah penulis tersentuh juga untuk mengambil tahu nasib Melayu di negara ini.

Era Mufti Selangor dipecat, kes Ustaz Kamal Ashaari serta Reformasi 1998 membangkitkan semangat baru dalam diri penulis sehingga melibatkan diri dalam jemaah PAS sendiri. Bermula dari "suka-suka ikut orang" sampailah menjadi aktivis parti dan kini sebagai wartawan akhbar lidah rasmi parti, pemikiran semakin terbuka dan dewasa ke arah merenung pula nasib Islam itu sendiri di tanahair.

Kelmarin penulis mencari lagu ini di dalam You Tube: youtube.com/watch?v=f5ZhIyidBs0&feature=related. Terkejut juga bila terjumpa klip lagu Warisan ini yang dibuat khas apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tiga buah negeri di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Klip video ini dimasukkan ke You Tube pada tarikh 14 April lalu iaitu selepas lebih sebulan "tsunami politik" melanda negara ini dengan menyaksikan 5 buah negeri berjaya dikuasai Pakatan Rakyat.

Sama seperti ucapan-ucapan atau tulisan lain yang menyatakan "Ketuanan Melayu" sudah tercabar apabila Pulau Pinang dikuasai oleh DAP.

Lantas teringat semula kenyataan atau ucapan pemimpin-pemimpin berkaitan hal ini.
Kenapakah digegerkan sangat bila DAP berkuasa? Apakah Pulau Pinang sebelum ini diperintah oleh parti Melayu? Adakah Gerakan/MCA itu parti Melayu?

Dalam klip video tersebut dipersoalkan "Apakah Nasib Orang Melayu Nanti?", "Melayu Hilang Kuasa?", "Islam Jadi Lemah?" bila DAP memerintah.

Juga dimuatkan gambar pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dengan kata-kata "Pakatan mereka melemahkan kuasa orang Melayu", "DAP menjadi semakin berkuasa".

Ahh.. Selama ini siapa yang berkuasa sebagai parti tunjang pemerintah? Jawabnya mudah, Umno (nama singkatan Inggeris) atau Parti Kebangsaan Melayu bersatu.

Apa yang dah dibuat Umno? Ke mana perginya biasiswa untuk pelajar? Apa dah jadi dengan tanah rizab Melayu? Ke manakah terperosoknya tulisan Jawi? Apa dah jadi dengan Islam di negara ini?

Bukankah mereka yang memerintah sejak merdeka? Bukankah mereka yang menggubal undang-undang? Bukankah mereka yang menolak perlaksanaan syariat Islam?

Lagu Warisan ini ditulis pada tahun 1980-an tatkala umat Melayu sudah lama menjadi 'bangsat' di negara sendiri. Lantas ianya didendangkan bagi membangkitkan kesedaran tentang nasib bangsa yang dulunya kaya-raya tapi sudah tergadai harta benda.

Penulis teringat lagi, lagu yang kami nyanyikan lewat belasan tahun yang lalu ini begitu syahdu hatta pada baris terakhir Melayukan Gagah di Nusantara yang diulang sebanyak tiga kali.
Begitu mendayu pada masa itu sehinggakan me"layu"kan pendengarnya. AKhirnya diubah (kalau tak silap pada tahun 1989 semasa penulis di tingkatan 5) dengan sekali sahaja dengan nada yang lebih gagah.

Apakah Melayu akan gagah semula di Nusantara? Bagaimana pula dengan Islam yang suatu masa dulu agama yang gagah di Nusantara?

No comments: