Tuesday, July 15, 2008

Mahasiswa Timur Tengah sokong pertemuan UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 14 Julai - Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah menyokong cadangan pertemuan di antara pemimpin UMNO dan Pas demi kepentingan masyarakat Islam dan orang Melayu negara ini.

Yang Dipertuanya, Ismail Abdul Halim berkata, jika perbincangan yang akan diadakan itu tidak terhad dengan isu-isu politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga harus diberi peluang untuk mengambil bahagian.

''NGO Islam tidak harus diketepikan dalam soal ini kerana ada orang Melayu yang tidak menganggotai Pas, UMNO ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Biarpun tidak melibatkan diri dalam politik, NGO Islam yang ada tetap mengambil berat isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam di negara ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ismail yang juga bekas Pengarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang kesediaan UMNO untuk berunding dengan Pas demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

Perdana Menteri menjelaskan, baginya langkah tersebut amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.
Abdullah menegaskan, kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah yang melibatkan kepentingan bersama.

No comments: