Tuesday, July 15, 2008

Gunakan mesyuarat UMNO cawangan mantapkan parti

Utusan
Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan ahli-ahli UMNO supaya menggunakan peluang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung mulai Khamis ini bagi memantapkan parti untuk berhadapan pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, oleh itu kesempatan yang ada itu perlu dimanfaatkan untuk membahaskan masa depan dan perjuangan parti selain memikirkan tentang mesej daripada keputusan pilihan raya umum lalu.

Katanya, mesyuarat itu juga kelak patut memikirkan apa bentuk perubahan dan transformasi kepada bukan sahaja UMNO tetapi Barisan Nasional (BN).

‘‘Kita perlu sedar bahawa ujian kita selepas ini bukannya soal pemilihan, tetapi adalah selepasnya iaitu bagi memantapkan parti bagi berdepan pilihan raya umum ke-13,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Hishammuddin ditanya mengenai nasihat beliau kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara menjelang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung 17 Julai ini.
Berhubung pemilihan parti, beliau menasihatkan Pemuda UMNO khususnya supaya menggunakan kesempatan itu untuk membentuk satu barisan yang lebih mantap.

Katanya, ini supaya perjuangan UMNO akan dapat memenuhi cita rasa orang ramai khususnya generasi muda.

‘‘Sesiapa yang hendak menawarkan diri sebagai pemimpin di dalam UMNO perlu juga mengambil kira hubungan dan perjuangan mereka dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin yang ditanya mengenai debat Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia satu lagi proses yang menandakan keterbukaan era pentadbiran Perdana Menteri sekarang.

Katanya, walaupun demikian, Anwar dijangka menggunakan kesempatan itu untuk mengkritik sepenuhnya kepimpinan kerajaan seperti mana yang selalu dilakukannya.

‘‘Ini seterusnya mungkin menjadikan perdebatan itu lari daripada matlamat iaitu forum untuk mendidik rakyat mengenai kebenaran,” ujarnya.

No comments: