Sunday, June 1, 2008

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA 2008

Keadaan sebelum pilihan raya umum

Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 adalah pilihan raya umum yang ke-12 yang telah dilaksanakan pada hari Sabtu, 8 Mac 2008 sesuai dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Walhasil Barisan Nasional (BN) kekal menang di peringkat Parlimen dan tewas di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Kekalahan ini umumnya melibatkan ketewasan calon-calon UMNO kepada PAS, Gerakan, MIC dan PPP kepada DAP, PKR dan PAS masing-masing. Fenomena cukup bersejarah ini meletak BN dalam keadaan tragedi dengan penyaksian permulaan rentetan fenomena politik Malaysia searah dengan pola politik negara Asia Tenggara lain seperti Filipina, Thailand dan Indonesia.

Perdana Menteri (PM) Malaysia, Dato’ seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) telah membubarkan Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008 bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum dilaksanakan setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Suruhanjaya Piliahan Raya kemudiannya mengumumkan hari penamaan calon pada 24 Februari 2008 di bangunan majlis daerah masing-masing.

Menyoroti suasana pilihan raya umum 2008, terdapat beberapa fakta, isu dan dakwaan yang cukup menarik untuk diperhatikan. Antaranya ialah:

1. Pilihan raya umum kali ini menawarkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang menjadi rebutan para calon yang bertanding. 10,922,139 warganegara Malaysia termasuk 221,085 pengundi pos layak mengundi sepertimana senarai akhir daftar pemilih yang dimaklumkan pada 5 Februari 2008. Jumlah ini memperlihatkan peningkatan pengundi seramai 600,000 berbanding 10.3 juta pengundi pada tahun 2004.

2. Sebelum pilihan raya umum, SPR telah mewartakan bahawa mereka telah melakukan penelitian bersama balai polis dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi mengemas kini nama si mati, pindah dan sebagainya. Namun, masih wujud mereka yang pindah tetapi tidak bertukar alamat dan mereka yang telah mati tetapi belum dipadam rekodnya. SPR seterusnya menjelaskan bahawa hal ini berlaku kerana peruntukan undang-undang pilihan raya umum semasa tidak mengizinkan SPR langsung memansuh nama-nama mereka daripada DPI. Ini disebabkan daftar yang dipakai selepas 1 Jan hingga 31 Mac 2008 akan dipamerkan pada April 2009 untuk semakan orang awam, disahkan memansuh nama mereka yang meninggal sehingga 31 Disember 2008 sahaja. Selain itu, wujud juga nama yang bertindih iaitu melibatkan pengundi pos (polis dan tentera) yang namanya dua kali berdaftar.

3. Tempoh berkempen pilihan raya umum ditetapkan selama 13 hari sahaja. Dikatakan tempoh berkempen yang panjang mengakibatkan suhu pilihan raya umum meningkat sehingga boleh mnecetuskan keganasan dan huru hara. Ditimbulkan juga adakah keganasan itu dilakukan oleh pihak parti pembangkang atau pun mereka yang di upah oleh pihak kerajaan untuk melakukan huru-hara? Dengan itu, pihak pembangkag dapat dilihat atau dituduh sebagai pengganas semahu mereka. Untuk rekod, semasa pilihan raya umum Malaysia 2004 , masa berkempen hanya 8 hari sahaja. Pilihan raya umum 1999 hanya 9 hari. Pilihan raya umum 1995 dan pilihan raya umum 1986 - 10 hari. Mungkinkah benar kenyataan semakin pendek tempoh berkempen, maka peluang parti kerajaan mendapat majoriti 2/3 semakin cerah.

4. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tidak dapat melibatkan diri dalam politik secara langsung dengan menjadi calon pilihan raya umum sehingga April 2008. Justeru, pembangkang yang mahu melihat DSAI bergabung dengan Lim Kit Siang di Pulau Pinang dan menjadikan orang Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang tidak kesampaian. Keadaan ini menyebabkan timbulnya spekulasi wujudnya pelepasan kerusi Parlimen untuk DSAI bertanding selepas April 2008 nanti.

5. Wujud pertikaian berkenaan pengusaan atau monopoli pihak Barisan Nasional terhadap media perdana. Media elektronik dan media cetak rata-rata banyak membuat liputan mengenai Barisan Nasional semata-mata dan kurang membuat liputan mengenai parti pembangkang. Pembangkang mendakwa mereka disekat daripada mengguna media elektronik seperti televisyen lantas terpaksa mengaplikasi sepenuhnya teknik ceramah dan kempen dari rumah ke rumah yang banyak kelemahannya dan sukar pula dilakukan oleh parti pembangkang. Menurut pihak kerajaan, aktiviti ceramah dan perhimpunan pra pilihan raya umum 2008 yang diadakan oleh pembangkang telah mencetuskan rusuhan dan dilabel sebagai perhimpunan haram. Contohnya, Huru-hara di Kuala Terengganu 2007 dan Perhimpunan Bersih 2007. Namun, pembangkang mendakwa lantaran Malaysia ialah sebuah negara yang berprinsipkan demokrasi Raja Berpelembagaan, sepatutnya ceramah-ceramah bebas seperti ini tidak wajar disekat sebab tindakan menyekat inilah sebenarnya yang mencetuskan rusuhan.

6. Sepatutnya mana-mana bakal wakil rakyat tahu tentang undang-undang pilihan raya umum di Malaysia. Seseorang yang muflis, terbabit dengan jenayah, rasuah, penyelewengan, perjudian dan kegiatan maksiat sewajarnya jujur semasa mengisi borang penamaan calon. Kesilapan teknikal semasa pilihan raya umum tidak sewajarnya terjadi. Misalnya, DUN Senggarang, Johor dimenangi oleh PAS kerana kesilapan teknikal. Walhal kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2004 di Terengganu adalah sebenarnya contoh jelas kesalahan teknikal yang disedari oleh SPR tetapi telah diabaikan. Kesalahan ini adalah penipuan semasa mengundi seperti wujudnya ramai pengundi hantu. Banyak kawasan di Johor dan Sarawak dimenangi tanpa bertanding sebab faktor kewangan dan seumpamanya.

7. Strategi aplikasi sekatan seperti wang deposit yang mahal tidak seharusnya terjadi. Menurut peraturan SPR, setiap calon pilihan raya umum untuk kerusi Parlimen disyaratkan membayar deposit RM10,000 ketika menyerah kertas pencalonan, manakala RM5,000 pula bagi kerusi DUN. Selain syarat sedia ada iaitu pencadang dan penyokong mestilah daripada kalangan pengundi berdaftar di kawasan yang hendak ditandingi, semua calon pilihan raya umum juga perlu melampirkan borang Akuan Bersumpah beserta duti setem yang dibayar atau menghadapi risiko kemungkinan kertas pencalonan mereka ditolak. Sepatutnya calon dan parti tidak wajar dibiayai oleh mana-mana peniaga atau jutawan apa tah lagi warga/anasir asing. Mana-mana parti perlu insaf dengan menjual maruah dan parti lantas berkomplot dengan kuasa asing yang sentiasa mahu melihat Malaysia sekali lagi dijajah. Kos pilihan raya umum akan melonjak tinggi jika ditambah dengan pelbagai aksesori seperti topi parti, payung, T-shirt, khemah, bilik gerakan, sepanduk, bunting, bendera parti dan lain-lain. Sedarlah, Amerika Syarikat melalui agensi CIA selalu berada di belakang mana-mana pilihan raya umum di negara dunia ketiga.

8. Merujuk undang-undang yang ditentukan kerajaan, permit ceramah mestilah dipohon untuk setiap ceramah dan perhimpunan yang hendak dilaksanakan di setiap lokasi dan masa. Peliknya, setiap permit ceramah yang dipohon oleh parti pembangkang tidak pernah diluluskan, mengapa? Unit Tindakan Rusuhan (Poru) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerah ke lokasi 'panas' seperti Marang, Permatang Pauh, Lunas dan lain-lain lagi untuk menghalang program ceramah dan kempen pihak pembangkang.

"Pekerja" pilihan raya umum 2008

SPR merupakan badan tertinggi yang bertanggungjawab mengurus pilihan raya umum dan kecil di Malaysia menurut Perlembagaan Persekutuan. Cuti 60,000 anggota polis telah dibekukan bagi menjamin keselamatan awam berada di tahap 100 %. Dan, hampir 149,000 guru-guru, pekerja majlis daerah dan pegawai Kemas telah diberi latihan secukupnya lalu dilantik sebagai petugas pilihan raya umum. Selain itu, 50,000 lagi kakitangan kasual termasuk juruterbang helikopter dan jurumudi bot di pedalaman Sabah dan Sarawak.

SPR pada peringkat awal telah bersetuju dengan tuntutan parti pembangkang agar dakwat pada kuku dan peti undi lutsinar digaplikasi dalam pilihan raya umum bermula tahun ini. Nombor siri pengundi pada kertas undi yang meragukan pengundi juga telah dimansuhkan. Namun, di saat akhir SPR telah mengarahkan agar penggunaan dakwat dibatalkan serta merta atas alasan yang tidak kukuh. Apa pun, pilihan raya umum tetap dilaksanakan walau pun pihak pembangkang sangat tidak selesa dengan perkembangan tersebut. Mereka tetap menggesa agar SPR dapat melaksanakan amanah dengan bersih dan memastikan tidak berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Pasukan Peninjau pilihan raya umum

Setakat ini SPR tiada kuasa mengundang pemantau pilihan raya umum dari luar negara dan tiada kuasa akreditasi terhadap mereka. Pihak pembangkang mendakwa ini hanyalah alasan untuk menafikan berlakunya penipuan semasa pengiraan kira undi dijalankan. Alasannya, pemantau daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau dari negara maju akan mengundang masalah sahaja. Setakat ini PBB dan semua negara di dunia mengiktiraf status pilihan raya umum di Malaysia kerana mereka tidak tahu apakah sebenarnya tipu helah yang berlaku di negara ini berkaitan pilihan raya umum. Mafrel, diterajui oleh Abd Malek Hussin yang pernah bertugas dalam Pilihan Raya Umum Thailand 2008, mendakwa bahawa jika dijemput sekalipun, tentu akan ada yang tidak puas hati, kononnya dibeli. Bagaimana dakwaan itu diwartakan sedangkan pemerhati pilihan raya masih belum dibentuk?

Pengundi hantu yang diheboh oleh pembangkang semasa pilihan raya umum tahun 2004 belum dihadapkan ke mahkamah sehingga ke hari ini. Kecelaruan pilihan raya umum 2004 berpunca daripada:

1. Persempadanan semula kawasan pilihan raya
2. Dua senarai daftar pengundi
3. Nama si mati masih ada dalam daftar pengundi.
4. Perpindahan pengundi tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pengundi yang terbabit. 5. Pengundi gagal mengundi kerana senarai daftar pengundi belum diumumkan.

Keputusan pilihan raya umum

Ketewasan paling teruk BN

BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti mudah (iaitu lebih daripada 1/2 jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi). Bagi DUN pula, BN gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor serta gagal mencapai harapannya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan. Pilihan raya umum kali ini juga mempamerkan kegagalan banyak ahli politik veteran mempertahankan kerusi mereka masing-masing; Shahrizat Abdul Jalil, Koh Tsu Koon, Azis Ismai, Samy Vellu, M. Kayveas, Chew Mei Fun, Tan Chai ho dan Zainuddin Maidin. Manakala kemenangan kerusi Parlimen kawasan PM kurang membanggakan apabila undi majoritinya telah berkurangan banyak berbanding dengan Pilihan Raya Umum tahun 2004. Harus diingat bahawa BN hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab pembahagian kawasan parlimen yang lebih memihak kepadanya - banyak kerusi diwujudkan di kawasan ini, walau pun kepadatan penduduknya jauh lebih rendah daripada kepadatan penduduk di negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Rekod kekalahan BN kali ini adalah yang paling buruk sekali diikuti Pilihan Raya Umum 1969 dan Pilihan Raya Umum 1999.

Empat negeri beralih angin

BN gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Angin perubahan deras lagi mendadak ini jelas kelihatan apabila pilihan raya umum menjadi saksi bahawa parti pembangkang DAP, PKR dan PAS bersama memperoleh undian yang banyak lantas menguasai negeri-negeri itu dengan majoriti yang menunjukkan bahawa angin perubahan telah melanda pihak pengundi. Namun, secara teknikal parti-parti terbabit sebenarnya tidak memenangi negeri berkenaan kerana menurut SPR mereka gagal memperoleh majoriti mudah.

Gabungan antara parti pembangkang diperlukan untuk membolehkan kerajaan campuran diwujudkan. Berikutan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008 yang memboleh mereka berkuasa memerintah 5+1 negeri, ketiga-tiga parti DAP, Keadilan, dan PAS telah bersetuju membentuk satu pakatan yang dikenali Pakatan Rakyat (nama belum muktamad) bagi mengukuhkan kerjasama sesama mereka. Namun, sehingga hari ini perikatan berkenaan tidak wujud lagi kerana sukar bagi mereka dapat bergabung lantaran jurang perbezaan prinsip perjuangan yang sangat luas.

Pasca Pilihan Raya Umum 2008

Cakar-mencakar dalam BN

Parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan mendakwa bahawa antara sebab kekalahan besar mereka dalam pilihan raya umum 2008 berpunca daripada UMNO. Antara isu-isu yang dibangkitkan termasuk tindakan Hishamuddin Tun Hussein yang gemar melambai keris dalam Perhimpunan Agong UMNO dua tahun kebelakangan ini dan Istana Zakaria.

Tun Dr Mahathir Mohammad dan anak bongsunya Mukhriz Mahathir pula mendakwa bahawa Pak Lah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan BN dalam pilihan raya umum kali ini kerana kelemahan dan "kelembikkan" pimpinannya. Tun Mahathir kemudian mengisytihar diri keluar daripada UMNO pada 19 may 2008 sebagai desakan kepada Pak Lah untuk meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri

Pak Lah pula tidak berpendapat bahawa “kelembikkan”nya menyebabkan tumbangnya BN, malah menuduh Tun Mahathir yang kuat mengkritik kerajaan BN sejak beliau bersara dan tindakan ahli-ahli UMNO yang mensabotaj 22 DUN dan 14 Parlimen yang menyumbang kepada ketewasan teruk BN. Pak Lah tetap tidak akan berganjak daripada memimpin UMNO dan Malaysia dengan alasan beliau mendapat mandat besar daripada UMNO (95%) semasa Pilihan Raya Umum 2008.

Zakaria Deros Meninggal Dunia

Zakaria Mat Deros, mantan wakil Pelabuhan Klang yang terjebak dalam kontroversi hangat kerana membina sebuah mahligai bernilai RM3 juta tanpa keizinan kerajaan negeri, telah meninggal dunia pada 11 Mac 2008 akibat serangan jantung. Menantu beliau, Roselinda Abdul Jamil mengambil alih tempat beliau dalam pilihan raya umum tetapi tetap kecundang.

Ekonomi

Gelora politik susulan pembentukan Kerajaan Malaysia yang amat rencam selepas pilihan raya umum 2008, ditambah pula kebimbangan kelembapan ekonomi sedunia kesan perkembangan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak menggalakkan, telah menyumbang kepada keresahan pelabur dan junaman mendadak di Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL).

Pada 10 Mac 2008, iaitu hari pertama perdagangan, dua hari selepas pilihan raya umum, saham-saham di IKKL menjunam 9.5% daripada 1,296.3 mata kepada 1,173.2 mata pada pukul 5 petang, iaitu kejatuhan dalam sehari terbesar sepanjang sedekad lalu. Justeru, perdagangan di IKKL ditutup secara automatik selama sejam lantaran nilai saham menjunam melepasi had 10% pada 10.5%, sebagai langkah mencegah "penjualan panik"; IKKL kembali berdagang pada pukul 4 petang. Antara syarikat-syarikat berdagang yang teruk terjejas merupakan syarikat-syarikat kerajaan, termasuklah Sime Darby (jatuh 18%), UEM World (jatuh 24%), Tenaga Nasional Berhad (jatuh 15%) dan Malaysian Resources Corporation (MRC) (jatuh 34-39%).

Pada hari yang sama, nilai Ringgit juga jatuh lebih 1% kepada RM3.2075 berbanding satu Dolar AS, penutupan pada hari perdagangan sebelumnya ialah pada paras RM3.166 untuk satu dolar AS, sekaligus memusnah harapan untuk kenaikan 2.5% dalam sebulan seterusnya. Seorang penganalisa percaya bahawa pelabur asing yang sudah kehilangan premium kestabilan politik yang dinikmati sebelum pilihan raya umum melepaskan peluang pelaburan di Malaysia.

Persoalan mengenai prospek projek besar-besaran yang dimulakan atau diurus oleh pentadbiran Pak Lah daripada tahun 2004 hingga 2008 juga ditimbulkan; Pihak pembangkang berjanji akan menilai semula projek kerajaan utama, termasuk keinginan DAP mengkaji semula projek pembangunan hartanah bernilai $8 bilion di kawasan perindustrian Pulau Pinang. Cadangan pentadbiran untuk membentuk hab ekonomi di wilayah Utara, Timur dan Selatan Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak sebelum ini menarik pelaburan baik tempatan mahupun asing, serta menaikkan IKKL, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai pembiayaannya.

Penganalisa lain pula percaya bahawa kebangkitan pembangkang selepas pilihan raya umum 2008 semakin kuat di parlimen lantas peluang meningkatkan ketelusan dan pentadbiran korporat. Seorang pengarah urusan sebuah syarikat pengurusan aset antarabangsa berkata, "Pembangkang yang lebih berkuasa adalah satu perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang, agar memastikan sekatan dan imbangan bagi pembelajaan kerajaan bertrilion ringgit."

No comments: